RASULULLAH
BERSABDA bermaksud - Empat jenis, siapa yang diberi akan
keempat-empat jenis ini bererti dia telah memperolehi sebaik-baik
dunia dan akhirat. Iaitu hati yang selalu bersyukur, lidah yang
sentiasa berzikir, jiwa yang selalu sabar dengan cubaan dan isteri
yang tidak melakukan dosa dan tidak menzalimi suaminya.
-Diriwayatkan
oleh Ath-Thabrani.-
Kita semua, sedia maklum bahawa Firaun mengaku dirinya Tuhan dan memaksa semua rakyat jelata agar menyembah dan memperhambakan diri padanya. Barang siapa yang ingkar dengan suruhannya akan diseksa atau dihukum bunuh. Begitulah kejamnya Firaun.Namun
begitu terdapat beberapa orang yang telah sedar dan beriman kepada
Allah di antaranya Siti Asiah, isteri Firaun dan keluarga Masyitah.
Masyitah adalah pelayan raja dan lebih terkenal sebagai tukang sikat
Firaun.
Mereka
terpaksa menyembunyikan iman mereka kepada Allah, dengan itu mereka
tidak akan diganggu.Tetapi pada satu hari, sewaktu Masyitah sedang
menyikat rambut salah seorang daripada puteri Firaun, tiba-tiba sikat
itu terjatuh dan dia dengan tidak sengaja melatah dan menyebut
"Allah". Puteri tersebut apabila mendengar perkataan
"Allah", dia pun bertanya kepada Masyitah siapakah"Allah"
itu. Masyitah pada mulanya enggan untuk menjawab pertanyaan itu
tetapi setelah didesak berkali-kali, Masyitah memberitahu bahawa
Allah itu adalah Tuhan yang Esa dan Tuhan sekalian Alam.
Puteri tersebut dengan serta-merta mengadu kepada Firaun tentang Masyitah. Firaun terperanjat apabila mendengar Masyitah menyembah selain dari dirinya. Firaun dengan kekuasaan yang ada padanya telah memerintah menterinya bernama Hamman untuk membunuh Masyitah dan keluarganya yang telah menyembah Allah.
Jasa Masyitah yang begitu banyak terhadap keluarga Firaun langsung tidak dikenang oleh Firaun. Selain menjadi tukang sikat, Masyitah juga mengasuh dan menguruskan istana.Tanpa usul periksa Firaun menjatuhkan hukuman berat kepada Masyitah dan keluarganya.
Begitulah zalim dan kejamnya Firaun yang tidak berhati perut langsung. Beginilah sikap manusia yang punya kuasa dan kedudukan, yang lupa bahawa dia juga hamba kepada Tuhan yang menciptakannya. Manusia yang lemah terus diseksa sesuka hatinya.
Di pihak Masyitah pula, dia sedar bahwa inilah masanya Tuhan hendak menguji keimanannya. Meskipun lemah fizikalnya namun Masyitah memiliki kekuatan jiwa yang sukar ditandingi oleh wanita lain. Beliau dengan lapang dada menerima apa sahaja yang hendak dilakukan oleh manusia kufur, sombong dan bongkak itu terhadapnya.
Hamman telah memaksa pengawal-pengawalnya menyediakan kawah yang besar. Hamman ingin merebus Masyitah serta keluarganya yang terdiri dari suami dan empat orang anak termasuk seorang bayi yang masih kecil.
Masyitah dan keluarganya melihat air di dalam kawah yang dimasak sehingga mendidih namun itu sedikitpun tidak menggugat keyakinan mereka kepada Allah. Sebelum ditolak ke dalam kawah tersebut, Masyitah sekeluarga telah ditanya oleh Hamman samada mahu selamat dengan menyembah Firaun kembali atau masuk ke dalam kawah dengan beriman kepada Allah. Dengan tegas mereka berkata, “Kami akan terus beriman kepada Allah sekalipun terpaksa terjun ke dalam kawah yang menggelegak ini.”
Maka Hamman pun memaksa satu-persatu keluarga Masyitah terjun ke kawah tersebut dengan sombong dan ketawa terbahak-bahak sambil menyindir dan menghina mereka. Suami Masyitah dicampak dahulu dan diikuti dengan anak-anaknya. Masyitah melihat sendiri bagaimana suami dan anak-anaknya terkapai-kapai di dalam air yang menggelegak itu. Akhirnya tinggal Masyitah bersama bayi yang sedang dikendongnya.
Di waktu itulah syaitan membisik ke telinganya, tidakkah dia rasa kasihan dan simpati pada bayinya yang masih merah dan tidak tahu apa-apa itu. Masyitah mula merasa ragu-ragu sama ada hendak membiarkan dirinya dicampak ke dalam kawah itu atau tidak. Ketika itu, dengan kuasa dan kehendak Allah, tiba-tiba anak yang masih kecil itu berkata-berkata kepada Masyitah, ibunya, “Wahai ibu marilah kita menyusuli ayah. Sesungguhnya syurga sedang menanti kita.”
Bila mendengar kata-kata itu, Masyitah dengan rasa kehambaan kepada Allah mencampakkan diri dan anaknya ke dalam kawah yang sedang menggelegak itu. Kawah itu dikacau oleh pengawal dengan menggunakan penyudip besi. Mereka dikacau seperti ikan yang direbus. Maka matilah Masyitah bersama keluarganya demi mempertahankan aqidah dan keimanan mereka.
Walaupun di dunia ini menerima seksa dan sengsara tetapi di Akhirat nanti, Allah telah menjamin syurga untuknya. Masyitah rela direbus hidup-hidup di dalam air menggelegak panas sehingga menyebabkan hancur dan masak kulit, isi dan seluruh badannya demi mempertahankan keyakinannya kepada Allah. Dia menerima segalanya dengan penuh keimanan, sabar dan redha kerana dia yakin Allah tidak akan mensia-siakan keyakinan itu.
Begitulah bagaimana hebatnya keyakinan Masyitah dan keluarganya kepada Allah. Keimanannya sungguh mendalam sehingga dia tidak takut dengan ancaman Firaun.
Sememangnya Allah telah menjanjikan nikmat syurga yang kekal abadi untuk Masyitah dan keluarganya.
Demikian juga keberanian seorang wanita memperjuangkan kebenaran dan keimanan ini dirakam dan diingati setiap tahun oleh seluruh manusia. Dalam peristiwa Israk Mikraj juga iaitu :
Dalam perjalanan Rasulullah SAW ke Masjid Al-Aqsa,
Baginda melihat beberapa gambaran antara langit dan bumi,
Antara pelajaran yang dapat diambil darpada peristiwa itu
ialah mengenai seorang wanita.
Rasulullah SAW melewati satu daerah yang mana baunya
baunya sangat harum seperti bau kasturi.
Baginda bertanya kepada Jibril ,daerah apakah
yang sedang mereka lewati .
Jibril menjawab :
" Itulah makam Masyitah,seorang wanita penghulu syurga. "
No comments:
Post a Comment